Click here for Myspace Layouts

Monday 19 December 2011


SHAH ALAM, 20 Dis: Pakatan Rakyat (PR) mengutuk sekeras-kerasnya pembohongan yang disebarluaskan oleh pihak tertentu bahawa DAP sedang merancang untuk mengambil kuasa Menteri Besar Selangor dengan meletakkan calon Melayu di kerusi majoriti Melayu.

“Kita melihat ini sebagai satu usaha terdesak Umno khususnya untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya tidak menyokong calon-calon PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi DAP negeri, Teresa Kok Suh Sim, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Hakikatnya, kata beliau DAP adalah parti berbilang kaum tetapi telah ‘dipenjarakan’ dalam imej parti bukan Melayu oleh Umno sebagai strategi politik pecah dan perintah yang telah mereka gunakan ke atas rakyat selama ini.

Jelasnya, Umno mahu meneruskan pembohongan dengan menimbulkan satu persoalan yang tidak pernah ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam PR.

Beliau yang juga Adun Meru menjelaskan DAP telah mencadangkan kepada PR Selangor supaya mereka dibenarkan meletak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Ini, katanya dicadangkan DAP dengan tujuan supaya DAP boleh membebaskan dirinya daripada imej yang ‘dipenjarakan’ oleh Umno.

Menurutnya, perbincangan telah dilakukan secara tenang dan terbuka bersama rakan-rakan PR dan bukan secara tertutup atau rahsia.

PAS dan PKR, jelasnya telah menyatakan kekhuatiran ia akan dieksploitasi oleh Umno yang sememangnya menggunakan sentimen perkauman untuk menyerang PR.

DAP, ujarnya akan dituduh gila kuasa dan PAS serta PKR pula akan dituduh pengkhianat bangsa.

“Walaupun inilah apa yang sering dilakukan Umno, namun tindakan itu boleh mengukuhkan persepsi yang songsang ini di kalangan masyarakat Melayu,” ujarnya.

Tegasnya, persoalan jawatan Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul kerana PR berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tiada apa-apa rancangan untuk menukarnya.

“Kami yakin bahawa melalui kerjasama dan semangat saling sokong menyokong yang ditunjukkan selama ini, prestasi Selangor di bawah Tan Sri Khalid akan bertambah, bukan sebaliknya.

“Sekalli lagi kami dari PR mengutuk sekeras-kerasnya usaha adu domba dan persengketaan berbau perkauman yang disebar Umno dan menggesa mereka meninggalkan tabiat buruk dan terkutuk itu demi negara,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap semoga rakyat diselamatkan daripada politik perkauman sempit yang diperjuangkan Umno BN.

“Semoga rakyat memahami bahawa politik sedemikian hanya pembohongan Umno BN untuk menutup amalan rasuah dan penyelewengan yang telah menjadi darah daging mereka selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment