Click here for Myspace Layouts

Tuesday 20 December 2011

Melayu tidak undi jika guna dakwat kekal - Perkasa


KUALA LUMPUR, 20 Dis: Perkasa memberi amaran, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang akan menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali juga berkata, pihaknya yakin penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.

Semalam SPR mengumumkan bahawa semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi.

Langkah itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

“Adalah memalukan negara yang jauh lebih maju dari negara-negara membangun lain mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum.

“Malaysia bukan negara seperti Somalia, Bangladesh, Pakistan, Afghanistan, Kemboja dan lain-lain negara mundur yang rekod pengenalan diri masih tidak canggih, yang menggunakan kertas biasa dengan maklumat peribadi tulisan tangan. Memalukan,” kata Setiausaha Perkasa itu.

Syed Hassan juga mendakwa Perkasa percaya gesaan untuk penggunaan dakwat kekal adalah daripada pihak yang sebenarnya tidak mahukannya juga tapi oleh kerana ia cara untuk membuatkan orang Melayu dan Islam tidak mahu keluar mengundi.

“Siapa yang untung jika orang Melayu tidak keluar mengundi? Saya sendiri kemungkinan besar tidak akan keluar mengundi jika kekal dengan penggunaan dakwat kekal.

“Dan, kemungkinan ramai ahli Perkasa tidak keluar mengundi juga. Siapa yang akan terasa rugi jika ramai ahli Perkasa dan orang Melayu lain tidak keluar mengundi?” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan perlu berfikir dengan sebaik-baiknya keputusan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13.

Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, dakwat kekal ‘silver nitrate’ akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 dan ia berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata, dakwat kekal yang mengandungi ‘silver nitrate’ itu telah dihantar ke Jabatan Kimia pada 9 Disember untuk diteliti kandungan dan kesesuaiannya digunakan di negara ini dan seterusnya akan dihantar ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memastikan ia sesuai digunakan orang Islam.

Dakwat itu juga dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesihatan pengguna secara umum.

Menurut Aziz, dakwat ini mengandungi logam silver nitrate apabila dicalit pada kuku jari dan akan diserap dalam kuku kulit.

Dakwat kekal silver nitrate tujuh peratus digunakan untuk pengundian awal iaitu hari pembuangan undi khas untuk anggota tentera, pasangan anggota tentera, polis dan pasangan anggota Pasukan Gerakan Am manakala dakwat kekal siver nitrate empat peratus bagi pengundian biasa.

No comments:

Post a Comment